Sunday 1 January 2012

Hikayat ‘Study’ Salaful Ummah




Diambang peperiksaan ini, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah caranya untuk kita menguasai ilmu? Jawapannya, kita mesti menjejaki cara ulama salaf memeras keringat dalam mencari gali ilmu. Ini kerana lafaz “سلك” dalam hadith (( من سلك طريقا...إلخ )) ditafsirkan oleh ulama sebagai ‘melalui jalan yang telah dilalui’. Di samping itu, ilmu yang menyinari dada-dada mereka telah membuktikan keberkatan manhaj yang mereka lalui.

Para masyayikh seringkali berpesan agar kita sering menghayati kisah-kisah ulama silam meredah belukar berduri bagi mengisi ilmu di hati. Bukan mudah merasa manisnya madu kalau tidak dipanjat pohon tualang. Takkan dijumpa mutiara berharga kalau tidak diselam lautan yang dalam. Imam Al-Junaid menyebut: “ Hikayat-hikayat adalah tentera dari tentera-tentera Allah, dengannyalah tubuh badan penuntut menjadi kuat”.

Diceduk dari Kitab Manhaj Sawiy Habib Zain Sumait hafizullah:
Pengarang Kitab Muhazzab, Tanbih, Luma’ dan lain-lain, Al-Imam Abu Ishak As-Shirazi berkata: “Aku mengulang setiap pelajaran 100 kali”. Bahkan diceritakan beliau mengulang sebanyak 1000 kali.
• Sayyidi Ahmad bin Zain Al-AlHabsyi mengulang pelajaran sebanyak 25 kali.
Anak murid Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansori, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami berkata: “Aku pernah menderita kelaparan di Jami Azhar, suatu penderitaan yang tidak tertanggung oleh kekuatan manusia jika tidak dengan pertolongan Allah Azza wa Jalla dan taufiqNya, dimana aku menetap disana selama 4 tahun dengan tidak menjamah daging kecuali satu malam ketika kami dijemput untuk makan. Disebabkan daging tersebut masih belum di bakar, kami pun menunggu sehingga larut malam. Namun, setelah dibawa kepada kami, daging itu telah hangus. Aku langsung tidak dapat menjamahnya”.
As-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan mengulang setiap pelajaran sebanyak 16 kali, dan menghafalnya sebanyak 4 kali.
As-Syeikh Ahmad bin Musa bin Ujail membaca Kitab Risalah Imam Syafie sebanyak 500 kali.
• Pengarang Kitab As-Shihr, As-Syeikh Fadhl bin Abdillah membaca Sahih Al-Bukhari sebanyak 1000 kali.
• Diceritakan ada sebahagian ulama India ketika menghafal Al-Quran mengulang setiap maqra’ sebanyak 1000 kali.
• Pernah Al-Imam Muhammad bin Alawi At-Tarimi terbakar serbannya sebanyak 13 kali disebabkan terlalu khusyuk bermutalaah. Apabila mengantuk, beliau akan keluar ke pantai untuk ‘study’ sehingga habis sebahagian malam atau keseluruhannya.
• As-Sheikh Abdur Rahman bin Ali pernah membaca Kitab Ihya sebanyak 40 kali kepada bapanya dan 40 kali dibacakan kepadanya.
• As-Sayyid Ahmad bin Husain Al-Idrus pernah meminang sepupunya namun ditolak bapanya. Lantas beliau bernazar akan membaca seluruh Kitab As-Syifa dalam satu malam dengan pelita yang dipegang oleh sepupunya itu jika beliau dapat berkahwin dengannya. Hajat beliau tercapai dan nazar beliau dilaksana serta merta setelah beliau dinikahkan.

Dari Kitab Shofahat Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimullah:
• Al-Imam Abul Hasan Al-Qattan Al-Qazwini berpuasa selama 30 tahun dan berbuka hanya dengan roti dan garam, segalanya disebabkan ilmu.
• Al-Khatib At-Tibrizi pernah bermusafir dari Tibriz ke Ma’arrah berjalan kaki untuk bertemu dengan Al-Imam Abil ‘Alaa Al-Ma’arri bagi mentahkik dan mempelajari Kitab At-Tahzib Imam Abi Mansur Al-Azhari. Beliau meletak kitab tersebut didalam kantung dan memikulnya di atas bahu. Kini, sesiapa yang melihat nuskhah tersebut pasti akan menyangka ia pernah tenggelam dalam air, tetapi sebenarnya ia basah disebabkan peluh Khatib Tibrizi.
• Disebabkan kesejukan yang melampau dalam perjalanannya menuntut ilmu, Al-Imam Abul Fityan Umar bin Abdul Karim Ar-Rawwasi putus jarinya dan Al-Imam Zamakhshari putus sebelah kakinya.
• Faqih Maliki Al-Imam Muhammad bin Sahnun mempunyai seorang hamba perempuan yang bernama Ummu Mudam. Pada satu hari, Ibnu Sahnun sibuk menulis sehingga malam. Hidangan telah tersedia dan Ummu Mudam meminta izin agar Ibnu Sahnun menjamah hidangan itu. Beliau berkata kepadanya: “Aku sibuk sekarang”. Setelah Ibnu Sahnun membuat Ummu Mudam lama menunggu, Ummu Mudam pun menyuapkan Ibnu Sahnun makanan sedang beliau terus mengarang. Apabila azan subuh berkumandang, Ibnu Sahnun pun berkata: “Aku sibuk malam tadi wahai Ummu Mudam. Bawakan aku hidangan”. Ummu Mudam pun berkata: “ Demi Allah wahai tuanku, aku telah suapkanmu”. Beliau pun menjawab: “Aku tak sedar akannya”
• Dua kali Al-Hafiz Muhammad bin Tahir Al-Maqdisi kencing berdarah disebabkan perjalanan yang panjang dan cuaca panas yang bersangatan untuk menuntut hadith.
• Pelajar-pelajar Al-Imam Ali Al-Madini sering berebut-rebut ke majlis pengajian beliau. Mereka akan menunggu dari waktu asar dan duduk di tempat tersebut sepanjang malam untuk pengajian esok hari. Ada di kalangan mereka yang sanggup untuk kencing didalam ‘toilasan’ (sejenis pakaian ulama besar zaman dulu)kerana bimbang tempatnya diambil orang.
• Ketika keberadaan Ibnu Abi Hatim di Mesir, selama 7 bulan beliau tidak menghirup sup. Siang beliau bersama masyayikh dan pada waktu malam beliau sibuk menyalin pengajian bersama rakan-rakan. Pernah beliau makan ikan yang hampir busuk tanpa dimasak setelah 3 hari membelinya. Ini disebabkan beliau pergi menghadiri kelas talaqqi.
• Abu Ali Al-Qali Al-Baghdadi pernah keluar sebelum subuh untuk menghadiri majlis Al-Imam Ibnu Mujahid. Setelah sampai ke satu jalan, beliau mendapati ianya telah ditutup. Beliau pun memasuki sebuah lubang bawah tetapi tersepit didalamnya. Namun, beliau menembuskan juga diri sekuat-sekuatnya sehingga terkoyak baju dan daging sehingga nampak tulangnya. Akhirnya, beliau berjaya juga ke majlis pengajian walaupun dalam keadaan tersebut.
• Pernah di Basrah, Al-Imam Al-Bukhari bertelanjang disebuah rumah disebabkan habis duit belanjanya sehinggalah anak-anak murid beliau menjumpainya dan membelikan beliau pakaian. Di Asqalan pula, Imam Bukhari, disebabkan sebab yang sama, beliau memakan rumput. Beliau tidak mengkhabarkan keadaan tersebut kepada sesiapa selama 3 hari sehinggalah datang seorang yang tidak dikenali memberikan beliau sebuah bungkusan berisi dinar untuk beliau berbelanja.

Cukuplah sekadar itu dahulu. Biarlah sikit tapi berkat, dari yang banyak tiada manfaat. Masih begitu banyak lagi hikayat salaful ummah dalam meniti kehidupan sebagai penuntut ilmu. Sebahagiannya tidak mampu dijangkau oleh pemikiran kita. Segalanya berlaku dek keikhlasan mereka ingin memperjuangkan agama suci ini. Mereka belajar bukanlah untuk bermegah dengan segulung ijazah, kemasyhuran, dan pujian. Bukan juga untuk memenuhkan masa lapang atau dipaksa orang atau untuk menjadikan ilmu itu sebagai modal untuk menyara kehidupan. Jauh sekali sifat-sifat ini berada dalam jiwa mereka.

Menuntut ilmu adalah untuk mengenal dan melaksanakan segala perintah Allah Taala dan menjauhi segala laranganNya. Agar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mengaku kita sebagai umatnya.

Ahibbati fiLlah! Jauh beza pengorbanan yang telah para ulama curahkan jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah kita katakan; kita telah lakukan. Semoga apa yang dihikayatkan di atas, dapat dijadikan motivasi kepada kita semua. Bukan untuk imtihan semata-mata, bahkan untuk selama-lamanya. Seeru ‘ala barakatiLlah!! Sekian.

Yang menaqalkan,
faisolomartaib,
sahibul khotoya.
Ghafarallahu lahu wa liwalidaihi!


P/S: Kisah-kisah diatas diterjemah secara bebas dan diringkaskan oleh penulis untuk memudahkan kefahaman pembaca. Bacalah satu-persatu dengan bertadabbur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...